Monday, September 8, 2008

Rap 101

Telah diketahui umum bahawa Rap adalah tunjang utama yang menujang susur galur puisi di Amerika. Metafora, ritma, dan visualisasi atau gambaran adalah unsur-unsur yang serupa bagi kedua-dua konsep seni ini kerana isinya dirangka yang kemudiannya dipanggil 'rangkap'. Rap seringkali dipersembahkan dengan condongan muzikal, dan selalunya dipetik dari elemen Hip-Hop dan juga muzik pop.

Berikut adalah 5 langkah untuk mula:-

Langkah 1
Mulakan dengan “flowing” atau aliran berpuitis. Rap secara umumnya adalah improvisasi, jadi mulakan dengan kata-kata dalam bentuk gaya bebas. Usah pedulikan apa yang diucap, biarkan perkataan datang secara rambang, cuba hayati medium ini dan teruskan.

Langkah 2
Setelah anda mahir dengan gaya bebas, cuba selitkan unsur dan teknik berpuisi dalam Rap anda pula. Gunakan metafora untuk perbandingan dan perumpamaan yang beritma untuk berikan rangkap anda kualiti muzikal. Jangan lupa ianya juga harus bagus Ingat: ini muzik.

Langkah 3
Berlatih, berlatih, dan berlatih lagi. Rap setiap kali anda berjalan atau berkerja. Rap tentang apa yang anda sedang lakukan dan fikirkan selalu. Tuliskan rap yang bijak atau permainan kata yang berlaku sepanjang hari. Terus binakan asas atas rangka rap yang telah ditulis.

Langkah 4
Tulis Rap anda. Walaupun rap bermula sebagai sesuatu yang spontan, tiada peraturan yang menyatakan anda tidak boleh tulis lirik anda dari awal, dan dengan cara ini and boleh menokoktambah lapisan atau intrikasi lirik rangkap rap tersebut.

Langkah 5
Bertanding dalam Rap Battle. Ini adalah ujian kemuncak buat kebolehan rap anda, dan salah satu kaedah yang cepat untuk menajamkan kemahiran anda adalah bertanding dengan rapper lain. Sindiran, permainan kata atau wordplay, dan pemikiran yang tajam merupakan elemen dalam Rap Battle. Jadi uji kemampuan anda dengan seseorang.



R.I.P. Big L

Terjemahkan artikel berkaitan minat anda dan DAPAT BAYARAN

Thursday, August 28, 2008

Muzik Dan Seni Penulisan

Kata-kata mentor yang terpahat merentasi minda saya setenang komposisi Mozart 'Sonata in D major'. "Untuk berhubung dengan mod kreatif anda... hayati Mozart." Ianya telah menjadi satu ritual sebelum menulis yang amat berkesan bagi saya, atas sikap ingin tahu saya, satu persoalan terngiang dalam fikiran adalah Apakah efek muzik pada minda dan tubuh? Dalam satu pengajian dijalankan oleh Anne Blood, Neuroscientist dari McGrill University Montreal menemui muzik mampu merangsang bahagian berbeza dalam otak bergantung pada muzik yang didengar. Pada saat kita semua dalam rahim ibu, kita amat reseptif pada bunyian. Ia tiba di minda dan merebak ke seluruh tubuh.

Dalam bentuk asasnya, bunyian adalah hamparan vibrasi yang membentuk ton. Hamparan vibrasi yang teratur melahirkan bahasa, medium komunikasi buat pemikiran, idea, ekspresi dan juga muzik. Kita semua dilahirkan berbeza, dan atas sebab itu juga kita bereaksi berbeza. Kita bertindakbalas berdasarkan pada bunyian dan jenis muzik yang berlainan. Jadi bagaimana genre muzik Baroque atau komposer seperti Mozart menggamit emosi setiap satu pendengarnya? Penemuan The Centre for New Discoveries in Learning, membuktikan Mozart dan beberapa rekod Baroque dirakam pada 60 bpm (beats per minute) mampu menenangkan dan merangsang aktiviti otak kanan, bahagian kreatif otak manusia. Malah muzik berentak 1 bps (beat per second) juga mempengaruhi kondisi psikologi dan dapat merendahkan tekanan darah dan denyutan nadi. Secara peribadi saya berpendapat bahawa ianya adalah kaedah yang mujarab untuk ketenangan dan stimulasi. Sebaik sahaja otak kanan saya dirangsang, saya seringkali terpegun dengan ekspresi pemikiran dan juga idea saya yang kemudiannya diterakan atas kertas. Don Campbell, penulis The Mozart Effect, mengetengahkan bukti pengaruh ritma dan bunyian ke atas tindakbalas mental. The Mozart Effect juga menunjukkan bagaimana muzik boleh digunakan secara psikologikal dan fiziologikal sebagai pemangkin proses pemulihan hingga rangsangan kreativiti.

Muzik daripada Mozart adalah rakaman yang sering dikaji oleh pakar dan ianya juga popular kerana muziknya tidak melampaui batas stimulasi, aliran dan struktur rondo, sonata-allegronya menyerupai gaya atau cara pendekatan otak terhadap fikiran dan idea. Ianya membantu memperjelaskan persepsi masa atau ruang. Ingin juga dinyatakan di sini bahawa muzik dari hasil komposer seperti Vivaldi, Handel, dan Bach mempunyai efek yang sama. Keluaran jilid ketiga Campbell yang bertajuk “Unlock the Creative Spirit” telah dibukukan khas untuk semua yang berniat untuk menembusi kreativiti minda. Saya berpegang pada kata-kata mentor saya, dan sekarang saya faham kenapa. Ianya berkesan bagi saya, mengapa tidak anda mencubanya sendiri, dan jika anda bukan peminat Mozart, cuba dengarkan sesuatu dengan 1 bps (beat per second) untuk melancarkan daya kreativiti anda.

Terjemahkan artikel berkaitan topik yang anda minati dan dapat bayaran.

Saturday, August 16, 2008

Puing Pincang


Meskipun dengan bingit letusan mortar
dengan pemandangan mayat bergelimpangan
di atas asfal yang bergaul darah dan debu
Deria Aku terputus talian
Antara landasan otak ke hati
sesuatu telah gagal

AKU TELAH GAGAL

Konsentrasi Aku semakin luntur
Aku hilang perhatian dan sangsi dengan keputusan
Titik fokus bertukar titik buta
Otak Aku semakin kosong
Tapi berkecamuk minda dengan khayalan yang tak masuk akal
Aku mengelamun di saat butir-butiran peluru
merobek otak menceraikan kepala dari tubuh rakan-rakan seangkatan
satu demi satu kalian rebah
Kalian ingin Aku berkubur segera
Jika lebih lama Aku menangguh maut
Maka lebih ramai lagi akan menuntut nyawa di gerbang neraka
Kepercayaan kalian pada Aku mula dipertikaikan
Kalian bingung bagaimana Aku mampu menjadi perutusan

Tapi Aku tak salahkan kalian

Kerana akan tiba masa kalian akan berpaling dari kepuraan
Aku juga tak ingin kalian menjadi mangsa yang musibah datangnya dari Aku

Ini salah Aku
Jangan kalian menyesali dengan keputusan membelot Aku.....

Lekas tinggalkan Aku
Biarkan saja Aku dicarik niat musuh

Tarik picu itu
Benamkan Aku sejenak
Semoga kebangkitan ini menimbus segala persoalan

Moga moga


Sparta - Collapse

Thursday, June 5, 2008

Sepi itu indah

Silent Talking - Dana Marrett-Silvera

I didn't talk much today.
Those who did all the talking kept asking
'are you okay?'
Kept asking 'why are you so quiet?'
In my head I answered...

There is power in silence.
There is strength in silence.
There is learning in silence.
There is renewal in silence.
There is solitude and safety in silence.

There is hearing in silence.
There is healing in silence.
There is knowing in silence.
There is mystery in silence.
and mysteries are solved in silence.

There is peace in silence.
There is grief in silence.
There is growth in silence.
There is hope in silence.

There are dreams in silence.
There is creativity in silence.
There is music and madness in silence.

There is vision in silence.
There is joy in silence.
There are words and sentences in silence,
and chapters and books, in silence.

There is insight in silence.
There is passion in silence.
There is fantasy in silence.
There is love in silence.
There are memories in silence.
There is movement and rhythm
and colour, in silence.

There is breath in silence.
There is life and death in silence.

Sometimes my spirit leads me into silence.
I dare to embrace it.
If you need to question it.
I will answer.

In silence.

silence creative


Dalam sepi Aku dapat mendengar pembentukan benua.
Dalam sepi Aku merasakan sedang janin diukir rupa.
Hanya dalam sepi Aku dipisahkan dari waktu.
Hanya dalam sepi Aku bertukar SATU.

Sunday, May 25, 2008

2008 Masih Membaham

Penantian Itu Adalah Satu Penyeksaan.

Masa gilap perlahan dan mengazabkan.

Kepedihan ini berpunca dari ketidaktentuan takdir di penghujung penantian itu.

Aku hanya lakukan apa yang termampu untuk mendekatkan diri dengan pembebasan.

2008 mengalir tanpa belas kasihan

Tercungap Aku mencari nafas

Bertahan keras nyawa yang kini tinggal seutas


The Cranberries - When You're Gone

Wednesday, May 21, 2008

T A T A H

Sentuhan Pertama kita

Pada malam terakhir bumi

Dalam seumur hidup

Aku percaya

Bahawa kau bukan penipuan yang nyata

Dua insan Bergesel merenjat

Kontak batin janji dua anggota sulit

melamar satu kebenaran

antara ruang-ruang

mata bertentang mata

diam seribu bahasa

lidah terpintal kekeluan

abjad diungkap

tapi tak luak menjadi perkataan

yang sekat di hujung nafas tak terucap

asfiksia ini satu nikmat

Temasya satu ikatan

cukup sedegup mata separuh katup

lantas Aku hirup setiap satu kamu

Bunuhlah Aku selepas terjurai ikatan agung ini

Aku dakap kamu dalam teduh

kita bersanggama disaluti peluh

Suci dan mulia jalin membentuk janin

Dua darah bercantuman

Darah muda dan Darah manis

Menjadi SATU

sex

Sunday, May 18, 2008

Lolos.

Dah mula bosan dengan rutin harian?

Aktiviti berulangan melusuhkan minda dan menumpulkan kemahiran?

Hasil seni yang anda sampaikan kurang ketajamannya?

Tiba masanya untuk tinggalkan "comfort zone" anda dan berkelana untuk merangkul semula inspirasi.

Sesetengah orang akan backpacking, mengembara dan ada juga yang melakukan perkara mencabar di mana mereka tak pernah cuba sebelum ini.

Walau bagaimanapun seseorang itu mengembalikan ilhamnya, akan sampai masanya untuk kita putuskan hubungan dengan rutin yang mengaratkan minda, kerana jika ini berlanjutan ianya akn menghanyutkan kita dan akhirnya kita hanya wujud dan bukan lagi hidup...


Aku nak pergi sini.

Thursday, May 15, 2008

You may have a fresh start any moment you choose, for this thing we call "failure" is not the falling down, but the staying down - Mary Pickford

Bagaimana anda menangani kegagalan?

Adakah anda lupakan segala usaha keras anda selama ini dan berputus asa, lantas serahkan setiap ketentuan hidup anda seluruhnya kepada nasib?

Jika ini adalah cara anda menangani kegagalan Maafkan bahasa Aku, anda sememangnya BODOH! dan anda tidak layak untuk diberi peluang kedua.

Hidup ini penuh dengan dugaan, gagal dan sukses seseorang bermaksud kita adalah manusia sepenuhnya. Sekiranya anda mengaharapkan hidup penuh dengan kesempurnaan, ini bererti anda adalah malaikat.

Orang yang bijak menerima kegagalan sebagai satu progres. Aku juga tidak terkecuali darinya. Kegagalan adalah satu pengajaran yang berharga kerana ia ibarat parut lama yang sering mengingatkan betapa sakitnya tumbang kita dahulu.

Ingat! orang yang tidak pernah gagal ialah orang yang tidak pernah berbuat apa-apa dan itu wahai sahabat adalah kegagalan yang abadi.

Sunday, May 11, 2008

SICK Flow

Flow bermaksud aliran dalam Bahasa Inggeris.

Rap flow pula bermaksud aliran berpuitis atau kelancaran seseorang Emcee memberi kesinambungan pada bait puisinya secara berentak.

Berikut adalah contoh daripada 2 Emcee mempamerkan Rap Flow yang sukar ditandingi.


AZ - Rather Unique
Produced By Pete Rock


Rakim - When I B On Tha Mic
Produced By DJ Premier

Friday, May 9, 2008

...Hidup ini penuh dengan pementasan dan drama...

Hidup adalah satu pentas, dan kita semua memainkan peranan masing-masing dalam perjalanan yang masih jauh ini, ada sebilangan orang yang jujur dengan hidup mereka, enggan berkompromi dengan lain untuk meragui atau menyangkal kepercayaan sendiri hanya untuk diterima masyarakat.

Lihat saja pada 2Pac, Kurt Cobain dan juga Bob Marley. Mereka adalah legenda dengan gaya mereka tersendiri, dan persamaan yang dikongsi oleh ketiga-tiga tokoh ini adalah mereka jujur dengan apa yang dipersembahkan pada dunia tidak kira di atas pentas mahupun pada kehidupan seharian mereka. What you see is what you get.

Dan sebaliknya, ada juga yang rela berlakon untuk mencapai matlamat sebenar hidup, di mana mereka masih mampu bertoleransi mengenai prinsip hidup dengan yang lain untuk sesuatu kepentingan. Tetapi AWAS jangan sampai tertipu diri sendiri. Jika anda mengamalkan kepercayaan hidup sebegini anda sebenarnya ibarat meniti jalan senipis benang di atas gaung yang dalam.

Sekiranya anda seorang seniman, adalah dinasihatkan untuk jauhi kepercayaan hidup yang kedua, kerana ini akan menumpulkan ekspresi seni anda, dan selanjutnya akan menjejaskan keikhlasan anda terhadap seni yang ingin anda perjuangkan. PERCAYALAH.

Hakikatnya, akan tiba suatu masa dalam hidup kita di mana kita perlu berlakon atau berpura-pura untuk mencapai sesuatu. Anda pernah terdengar Fake it until you make it. Aku sememangnya tak galakkannya. Walau apapun pilihan arah tuju anda, jangan hilang fokus dari niat sebenar hidup. Dan yang paling penting sekali jangan sampai tergadai intergriti anda sebagai seorang manusia yang punyai kepercayaan sendiri.

Selalu berlaku jujur kepada diri sendiri.

Monday, May 5, 2008

Life Goes On.....

3 hari selepas tragedi, Aku masih disini.

Mengasimilasi diri muhasabah untuk meneruskan hidup yang kudus.

Mungkin kamu semua akan bertemu Aku di sana, tapi yang pasti

Aku akan teruskan perjuangan yang panjang ini meskipun tanpa sekutu.

Tragedi puncanya Aku, Akibatnya Aku terkujur kaku, kematu menunggu sambil dimamah waktu.....

Kematian Aku yang keseribu, tapi penghidupan akan kelahiran Disitu....

Ya Disitu......

Friday, May 2, 2008

Rayuan Ditolak

Dengan dukacitanya dimaklumkan bahawa rayuan untuk peluang kedua ditolak secara keras.

Aku, Imrul Kamal Bin Khairul Anuar bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini. Di sini ingin Aku nyatakan bahawa keputusan ini amat mengejutkan Aku.

This is a rude awakening to me. But I believe there's still life in this aftermath. There's a precious lesson to be learnt out of this tragedy. Nothing heals the wound better than time.

Meskipun Aku kecewa tapi hidup perlu diteruskan.

Aku akan kembali pada petak permulaan sekali lagi efektif sepenuhnya pada 2pm bertarikh 2 May 2008.

Ya ALLAH, berikanlah Aku kekuatan untuk menerima segala perkara yang Aku tak mampu merubahkan keadaannya.....Walaupun dengan pembunuhan.

AMIN.


Alanis Morissette - That I Would Be Good

Thursday, May 1, 2008

Penghidupan semula pada peluang kedua.....jika ada

...tapi dimana hilangnya peluang pertama?

Dan kenapa perlunya ada peluang kedua?

Sejujurnya Aku pun kurang pasti macamana peluang pertama boleh disia-siakan dan lenyap begitu saja.

Setelah bermuhasabah, Aku andaikan bahawa Aku telah memandang rendah pada situasi sebenar dan menggangap Aku tidak mungkin gagal dalam satu-satu dugaan. Aku tersilap dan terkadang kesilapan Aku berulangan.

Maka hargailah peluang pertama, dan jangan sampai diberi peluang kedua untuk menebus diri kerana tidak semua diberi keistimewaaan tersebut.

Monday, April 28, 2008

2 minggu mengasimilasi.....

Ingat lagi lebih 2 minggu Aku tak update blog ini?

Sebab sebenarnya ialah Aku terlalu kusut dengan segalanya dalam hidup Aku.

Aku berkecamuk. Semak dengan pelan-pelan awal yang Aku atur agak perlahan untuk mendatangkan hasil. Kurang sabar untuk menanti lebih lama lagi.

Jadi Aku ambil masa lebih lama untuk merehatkan diri. Tenangkan fikiran yang bergejolak. Kembalikan fokus Aku pada apa yang penting pada saat itu.

Aku kurang mendengar radio ataupun mendengar muzik pada waktu itu. Aku tidak benarkan sebarang bunyi bising menceroboh hidup Aku dan Aku dapati pada waktu itu Aku lebih fokus dan ianya memanjangkan hari Aku untuk laksanakan apa yang perlu.

Sunday, April 27, 2008

Tekanan

Terkadang Aku beri tekanan yang hebat pada diri Aku sendiri kerana Aku tagihkan kejayaan.

Dan pertaruhkan harapan yang tinggi untuk menjayakan sesuatu.

Tapi apabila Aku gagal setelah berusaha separuh mati, ini amat mengecewakan Aku.

Saturday, April 26, 2008

Back To Square One

Ini bukanlah kerana asas/foundation tak teguh, tapi margin of errornya amat tipis sekali untuk Aku gagal.

Maka teramatlah mandatori untuk Aku berjaya.

Aku kesuntukan waktu, sesuatu perlu dibina dalam masa yang singkat (2 tahun).

Seperti apa yang Aku katakan cabarannya adalah Aku menentang waktu.


Somehow Someway - Jay-Z Feat. Beanie Siegel and Scarface

Friday, April 25, 2008

Nitrus - Resah

Sekali-sekala nak jugak layan perasaan, sebab Aku pun manusia.

Terimalah Resah dari Nitrus, salah satu band tempatan yang Aku sanjung.

Thursday, April 24, 2008

Dalam kekabutan itu ada tenang

Dalam tenang ini

Terulir nazat

dan imbauan yang mendamaikan deria

Dhamir tidak terusik dikerah pedih jerih duniawi

Disesatkan alunan

dayuan hening senja terakhir bumi

ibarat aku di ambang maut

Aman

ibarat aku berseorangan di laut

menyaksikan ombak dan bayu berbalas rangkap

satu berdesir sayu

satu lagi berbisik perlahan

Damai

Dalam tenang sini

Aku menghitung detik sehingga aku harus kembali ke teritori hitam

Dalam kekabutan memainkan watak di kalangan jakham

Namun dalam kekabutan itu masih ada tenang.....


Thrice - Open Water

Wednesday, April 23, 2008

Apa Cer...?

Apa khabar semua, lama jugak Aku tak update blog ni.

Aku sibuk, bukan sibuk dengan kerja tapi sibuk berehat.
Betapa pentingnya rehat untuk Aku setelah kerja mengalahkan anjing.

Hari ini juga merupakan offday Aku. Aku akan survey lokasi penempatan vending machine Aku dengan Yvonne petang nanti.

Masa-masa lapang Aku tidak disia-siakan begitu saja, Aku mereviu semula startegi utama atau Masterplan Aku pada awal tahun 2008 dan juga mengatur gerak langkah untuk bulan-bulan seterusnya. Ada 10 bulan lagi untuk Aku kuatkuasakan.

Dalam beberapa minggu yang lepas juga, Aku tersedar beberapa perkara penting. Sama seperti dalam perniagaan, apa saja pelaburan yang tidak mendatangkan hasil haruslah dilepaskan segera sebelum ianya terus mendatangkan kerugian, dan jika sumber-sumber dari pelaburan awal tersebut masih boleh digemblengkan semula untuk menjana sumber pendapatan yang baru ia seharusnya digunakan semula kerana ini sekaligus akan mengurangkan kos keseluruhan.

Saturday, April 5, 2008

Kerja sampai mati?....seramnya gambaran itu.

Bila seseorang sebut pasal kerja, perkataan-perkataan inilah yang terlintas dalam minda Aku:-

Confined
Dictated
Mundane
Dying before Death
Office Politics
Rigid
Monotone
Tragedy Of Life
Dead End
Routine
Habit Forming
Otak Karat
Wujud tapi tak hidup

No Options. It's Work Or Die!!!

Aku tak ingat mana Aku terbaca "Boredom is Anti-Revolutionary".

Friday, April 4, 2008

Keseimbangan yang Aku cari

Keseimbangan dalam kehidupan adalah jarang dan terkadang mustahil sekali untuk dicapai.

Apa yang Aku maksudkan adalah keseimbangan dalam perhubungan dan kareer. Tidak pernahnya sekata.

Andaikan kita menjalani perubahan kareer yang memberangsangkan, tapi sebaliknya pula yang terjadi dengan perhubungan kita dengan orang yang tersayang. Ini adalah ketetapan hidup.

Jarang sekali ianya akan sekata. Boleh dikatakan tidak pernah.....

Wednesday, April 2, 2008

Ketetapan

Semalam Aku bersembang dengan Azwan, Aku bagitau yang Aku terserempak dengan crush Aku masa sekolah dulu, dan Aku juga bagitau dia yang budak ni tak secantik dulu. Aku tidak sangka yang perempuan ini akan menjadi sebegini selepas 8 tahun tamat persekolahan. Berat badannya bertambah, tapi dari apa yang Aku perhatikan juga perangainya juga tiada perubahan masih perasan macam dulu, jika dulu dia boleh takbur kerana harganya di antara yang termahal di pasaran, tapi sekarang ini bongkaknya tanpa sebab.

Jika siapa yang Aku maksudkan terbaca tentang ini, bukan nak mengutuk tapi tolong sedar yang anda adalah sampah, tiada apa yang boleh dilagakkan.

Si Azwan menambah lagi, situasi sedemikian memang lumrah alam. Kalau pada zaman persekolahan, seseorang yang kita anggap lawa akan pudar serinya dimamah masa, sebaliknya orang yang sering di belakang tabir atau dalam erti kata lain kurang menonjol berbanding gadis-gadis yang cantik, selalunya akan mengalami transformasi yang mendadak di mana rupanya akan lebih menawan megikut aliran masa dan kesedaran fesyen mereka juga akan menyumbang kepada pembawaan diri mereka yang lebih menyerlah.

Lagi satu contoh yang dia bagi ialah adik akan selalunya lebih besar atau lebih tinggi tubuhnya berbanding pada abang atau kakaknya.

Ini ketetapan alam katanya.....

Aku mengganguk setuju dengan teori Azwan.

Monday, March 31, 2008

Richistan

Menurut senarai terbaru yang dikeluarkan oleh Malaysian Business' terdapat 18 orang Billionaire di negara ini. (Pada mulanya Aku pun tak percaya)

Golongan Super Rich adalah golongan yang memiliki Nilai Asset Bersih yang melebihi 100 juta.

Golongan-golongan ini adalah buruh-buruh yang makan gaji pada permulaan perjalanan mereka. Sesetengah dari mereka mendapat pulangan pada ledakan Dot.Com tak lama dahulu. Dan ada juga yang mendapat pulangan lumayan dari pasaran saham. Dan yang selebihnya meraih keuntungan mereka dari pelbagai pelaburan perniagaan.

Kesimpulannya, semua ini TIDAK mustahil.

ONE.

Sunday, March 30, 2008

Hip Hop Dalam Sejarah

Pada masa kini, jika anda bertanyakan sesiapa untuk definisi "Rap",mereka semestinya akan mengatakan Rap adalah pendeklamasian puisi dengan iringan ritma. Ia adalah sejenis ekspresi beruratakar dari budaya silam Afrika dan tradisi oral mereka. Sepanjang catatan sejarah di Amerika, terdapat akrobatik lisan atau bertikaman lidah berbentuk puisi dalam komuniti kulit hitam di Amerika. "Signifying", "testifying", "Shining of the Titanic", "the Dozens", "school yard rhymes", "prison 'jail house' rhymes" dan "double Dutch jump rope' rhymes" adalah beberapa jenis nama penyampaian Rap yang telah dimanifestasikan. Pada masa fenomena ini berkembang, "party shouts" diberi lebih ketelitian dan memperlihatkan para dj berusaha untuk memberikan kelainan dalam persembahan mereka, mereka mula menyelitkan bait-bait puitis dalam lagu-lagu yang diputarkan. Tidak lama kemudian ramai yang tertarik dengan jenis penyampaian "dozens" dan "school yard". Dan ramai pula akan memberi kelainan dengan menulis menurut citarasa mereka sendiri bersesuaian dengan suasana sambutan. Pada masa itu, rap tidak dikenali dengan 'Rap' tetapi dipanggil 'Emceeing'. Kool Herc, iaitu salah seorang Emcee terkenal pada masa itu kembali memberikan perhatiannya pada DeeJay dan menyerahkan tugas kendalian Mikrofon kepada dua rakannya iaitu Coke La Rock dan Clark Kent. Mereka kemudiannya dikenali sebagai Kool Herc and The Herculoids dan mereka merupakan kumpulan Emcee yang pertama dalam Rap. Rap mendapat tempat di kalangan pemuda urban di New York kerana genre ini memberi kebebasan untuk mereka meluahkan perasaan. Dan atas sebab kebebasan ini menjadi dasar mengapa arena kemahiran berlisan/berputis yang disebut dimanifestasikan pada awal kemunculan genre ini. Yang penting sekali, seni ini boleh diceburi ramai. Seseorang itu tidak memerlukan wang yang banyak untuk berpuisi. Ianya juga tidak memerlukan kelas atau pengajian bertauliah untuk mula berpuisi.Rapping adalah kemahiran berlisan yang boleh dilatih dan diasah hingga tahap kesempurnaan dan pada bila-bila masa saja. Dan atas aspek Rap yang bersikap inklusif membenarkan seseorang itu untuk memberi suntikan tersendiri atau personaliti dalam penulisan mereka.Jika anda seorang yang tenang, anda boleh rap dalam kadar yang perlahan. Dan jika anda seorang hiperaktif, anda mampu rap dengan laju. Tiada siapa yang mampu rap dengan serupa antara satu sama lain, walaupun mendeklamasikan bait puisi yang sama. Ramai juga yang telah meniru gaya seseorang, tetapi itu juga memberi indikasi tentang personaliti rapper tersebut. Sehingga tahap ini, semua ini perlu difahami untuk medapat tanggapan sebenar Hip-Hop. Sejarah membuktikan, muzik yang berasal dari komuniti kulit hitam Amerika selalunya diiringi dengan subbudaya yang mencerminkan keadaan politik, sosial dan ekonomi pada waktu itu. Rap tidak terkecuali. Rap muncul dari budaya Hip Hop. Pada mulanya ia terdiri dari 4 elemen utama iaitu seni graffiti, breakdancing, deejaying, dan juga tidak lupa tentang emceeing. Hip Hop adalah satu gaya hidup dengan bahasa, fesyen, muzik dan ideologinya tersendiri yang tidak putus berkembang. Pada hari ini, disebabkan breakdancing dan seni graffiti kurang menonjol, perkataan 'Rap' dan Hip Hop seringkali disilih ganti. Walau bagaimanapun perlu ditekankan di sini keempat-empat elemen utama Hip Hop masih wujud, ianya cuma berjaya dikembangkan kepada satu tahap yang baru. Hip Hop terus menjadi medium tindakbalas kepada anak-anak muda terhadap penolakan nilai dan keperluan mereka dari warga berumur. Pada mulanya, kesemua aspek utama Hip Hop terdiri daripada pengekspresian diri. Kuasa yang menjana gerakan di sebalik kesemua aktiviti ini adalah keinginan seseorang agar kehadiran mereka dilihat dan suara mereka didengari. Dominasi Hip Hop berlaku disebabkan perubahan drastik dalam format radio kulit hitam pada awal tahun 70an. Sebelum Hip Hop, radio kulit hitam memainkan peranan penting dalam komuniti sebagai pewaris dan meneruskan kesinambungan atau 'griot' iaitu tukang cerita. Ianya menggambarkan adat dan nilai kehidupan dalam satu-satu komuniti itu dan radio kulit hitam juga menjadi sumber asas informasi dan hiburan bagi pemuda-pemuda bandar. Yang menariknya pengaruh radio kulit hitam dan peranan dj-djnya dalam komuniti kulit hitam Amerika telah menjadi isu perbincangan hangat bagi sesetengah tokoh-tokoh di sana.

Thursday, March 27, 2008

Kayu Pengukur Kekayaan

Macam mana sebenarnya kita mengukur kekayaan seseorang termasuk kekayaan sendiri.....Adakah dengan memiliki rumah banglo 3 tingkat, 4-5 buah kereta import, wang yang banyak dalam bank.

But let's face it, kita semua nak jadi jutawan muda, kalau boleh sebelum umur kita 30, tapi cuba kita renung sejenak dan muhasabah diri seketika untuk fikir, munasabah ke kita nak dapat duit sebanyak itu, percayalah cakap Aku, walaupun kita dengar satu juta tu macam ciput, tapi sebenarnya ia adalah memang satu jumlah yang terlalu besar. Jadi kita kenalah rasional dalam membuat perancangan awal.

Sekarang baru Aku sedar bahawa untuk Aku nak dapatkan satu juta memanglah sukar, jadi apa yang perluAku buat ialah kurangkan jumlahnya ke angka yang mampu Aku capai.

How about a quarter million when I'm 30, now I think that's achievable.

Kena ingat, walaupun dah jadi jutawan ianya tidak menjanjikan kebebasan kewangan.

Monday, March 24, 2008

Keajaiban Musika

Sebagai seorang yang kurang peka dan juga kurang berbakat dalam bidang muzik, saya sememangnya diilhamkan oleh muzik. Pakar Psikologi dan Biologi menghadapi kesukaran untuk mengerti hakikat bahawa muzik amatlah penting bagi manusia. Menurut mereka muzik tidak berkesan untuk membekalkan manusia dengan ketahanan untuk menempuh dugaan hidup. Saya amat bersetuju dengan kenyataan muzik mampu melahirkan inspirasi buat segenap umat manusia. Dan oleh sebab itu muzik juga memainkan peranan penting dalam menangani aspek yang lebih penting sepanjang kehidupan contohnya seperti bekerja dan menjana pendapatan yang cukup untuk meneruskan hidup. Satu persoalan yang masih belum terjawab ialah bagaimana muzik mampu melahirkan ilham atau berupaya untuk menjadi pemangkin dalam ikatan sosial yang lebih berkesan meskipun tidak berkait dengan godaan seksual yang diketahui umum?. Efek penglibatan muzik dalam peperangan adalah memberangsangkan di mana ianya digunakan untuk mengentalkan semangat para pejuang sebelum melangkah ke medan tempur.Kekuatan dan keyakinan satu-satu batallion ditingkatkan di bawah pengaruh paluan gendang dan tiupan trumpet yang kuat. Persoalan ini dan banyak lagi kesan muzik ke atas minda manusia menjadi topik perbincangan Oliver Sacks melalui bukunya yang bertajuk "Musicophilia".

Sesetengah pendapat inovatif mendedahkan bahawa muzik berhubung rapat dengan perilaku manusia dan mengaitkan bahasa dengan muzik. Bernada mutlak atau "absolute pitch" adalah salah satu keistimewaan manusia yang jarang ditemui, tetapi sering ditemui hampir dalam setiap kanak-kanak, dan perilaku itu seringkali hilang dalam proses pertumbuhan mereka. Nada mutlak amat jarang ditemui dalam warga eropah, dan sekiranya ada nisbahnya mungkin satu dalam sejuta, tetapi ini adalah perkara biasa untuk warga negara yang berbahasa cina, ini adalah kerana penggunaan nada berbeza untuk sebutan vokal yang sama tetapi dapat membezakan antara maksud. Membezakan nada adalah satu misteri untuk kebanyakan dan terutamanya saya, dan ini bertentangan dengan deria penglihatan, kerana tiada apa yang dapat disembunyikan dari minda manusia dalam proses penilaian data melalui penglihatan.

Penglihatan adalah cara yang lebih efisyen untuk menilai realiti dan ini mencerminkan saiz tisu otak yang berfungsi untuk penilaian tersebut. Tidak ramai yang mempunyai masalah dalam membezakan warna, dan keupayaan ini adalah semula jadi dan bukan sesuatu yang janggal di kalangan manusia. Prestasi luar biasa yang berkenaan dengan imej-imej itu dibayangkan dalam saiz kawasan otak berfungsi dalam pemprosesan imej, terutamanya kawasan otak yang berkait dengan fungsi pengenalan wajah manusia. Manakala keupayaan mendengar pula, kawasan otak yang ditugaskan untuknya kurang diperkembangkan dan di atas sebab ini, manusia kurang cekap untuk memahami corak bunyian jika dibandingkan dengan binatang seperti burung, kelawar, dan ikan paus berkebolehan untuk menggunakan bunyian untuk berkomunikasi, mengenalpasti halangan dan juga menjejak mangsa.

Walau bagaimanapun, keajaiban muzik dikatakan tercetus akibat kelemahan kita untuk mengintepretasikan segala butirannya. Majoriti pencinta muzik benar-benar tidak sedar tentang komposisi teknikal muzik, dan hakikat ini adalah sesuatu yang amat menyenangkan kerana manusia amat mudah teruja oleh misteri. Dan selain itu, secara umumnya kita tidak mampu untuk menghasilkan muzik, menyanyi atau memainkan sesuatu alat muzik dalam satu tahap profisyen yang tertentu. Dalam erti kata lain, hampir setiap manusia boleh dianggap buta seni dalam terma-terma kemahiran muzik. Kita adalah hanya pengguna dan bukan pencetus aktiviti minda tersebut.

Sebaliknya, hampir semua orang berupaya bercakap secara kreatif, dengan menggunakan beberapa bahagian asas perbualan. Jika kedua-dua keupayaan ini sememangnya berkait rapat, tidak mustahil kita telah kehilangan kepekaan muzikal kita untuk menguasai penggunaan bahasa, kepada sesetengah majoriti, ucapan dan muzik tidak mempunyai cukup ruang dalam otak untuk wujud bersama dalam tahap kecekapan serupa. Ianya tidak memeranjatkan apabila kita kehilangan salah satu deria , kita akan dianugerahkan dengan kepekaan deria yang lain sebagai ganti. Misalnya bagi orang-orang buta deria pendengaran mereka lebih tajam dan mampu mengesan halangan dengan gema pada satu-satu tahap tertentu. Kesemua deria kita adalah keajaiban dan amat menakjubkan bagaimana kita dapat menerima data dari dunia luar dan bagaimana data-data ini diproses sehingga menjadi kesedaran kita sewaktu kita berjaga.

Persepsi bukan sahaja menerima maklumat kasar dari luar tetapi terdapat satu set data silam mengenai persekitaran yang merangsang otak untuk melahirkan rasa kenyataan. Bila seorang bayi berhubungan dengan dunia secara visual buat pertama kali, otaknya sudah memberi tanda atau pembayang tentang apa yang dilhatnya dari objek tersebut.

Sunday, March 23, 2008

Laporan Sunburst Music Festival

Aku pergi ke Sunburst sebab nak tengok The Legendary The Roots Crew. Memang susah kita nak dengar salah satu perintis Jazz Hip Hop datang Malaysia. Jadi sebaik saja Aku tahu yang diorang nak turun, Aku terus beli tiket langsung tanpa fikir banyak.

Sunburst mula pukul 2.30pm, pertama sekali yang Aku nak tengok ialah Najwa, satu-satunya artis Neosoul dekat Malaysia, sememangnya dia mula mendapat perhatian industri, dia buat persembahan dekat pentas Hitz.FM. Dia tetap hebat seperti kali pertama Aku tengok dia buat persembahan di Layar Tanchap dulu. Disebabkan orang ramai yang baru sampai, jadi tak ramai yang hadir untuk tengok dia.

Seterusnya Aku tengok Atilia di pentas Era. Artis yang lebih dikenali ramai ini membawa rentak Jazz & Soul, dia memang hebat seperti yang Aku jangkakan tambahan pula dia ada saksofonis yang memperagakan solo yang hebat, tidak lupa juga Steve Thornton memainkan percussion sebagai sessionist untuk Atilia. Masa ni, penonton dah mula ramai yang berkumpul dekat depan petas Era.

Sebaik saja Atilia selesai dengan persembahannya. Tompi dari Indonesia mula naik ke pentas. Aku cuma pernah dengar salah satu lagunya dimainkan di radio dan lagunya ialah "selalu", dan tak hairanlah ramai penontonnya terdiri dari warga Indonesia. Banyak lagu cover yang dipersembahkan, tetapi diberi nafas tersendiri oleh Tompi, dan sekali lagi Steve Thornton menjadi percussionist untuk Tompi. Dah 3 penghibur Aku saksikan, dan setakat ini Aku belum lagi dikecewakan. Pada penghujung setlist Tompi, hujan mula turun dan penonton yang sebelum ini tengah tenang layan muzik, kini kelam kabut mencari tempat teduh.

Aku bertembung dengan rakan sekerja berbangsa Indonesia di situ.

Perempuan.

WTF?

Aku berteduh di gerai Tubby(seorang DJ yang akan buat persembahan malam nanti). Dan ironikanya, Hujan(kumpulan terhangat masa kini) juga sedang Rock Out di atas pentas. Agak lama juga Aku berteduh, dan masa ini Aku terlepas persembahan Love Me Butch.

Sementara itu, Aku cuba telefon Shinji, tanya dia dah sampai atau belum. Jam menunjukkan 6.23pm, lambat lagi The Roots nak naik, perut pun dah lapar, boleh alas perut sikit sebelum tengok The Roots.

Terserempak dengan Mac(DJ The Works), tanya pasal Shinji, dia cakap Shinji tengah layan George Clinton and The Parliament Funkadelics.Setelah nak dekat 15 minit cari dia akhirnya jumpa dia dengan Rougue Boys yang lain, iaitu Zarim dengan Haq. Best jugak George Clinton ni, bunyi-bunyian funk sekarang banyak dipengaruhi oleh dia. Kalau saksofonis Atilia hebat, saksofonis George Clinton lima kali ganda lagi hebat, solonya yang panjang dan teknikal, vokal George yang garau dan mendalam dan juga instrumentasi funk yang dinamik, walaupun band ini terdiri dari ahli-ahli yang berumur tapi muzik mereka tak dapat ditandingi oleh pemuzik-pemuzik muda zaman sekarang dan veteran-veteran ini masih mampu hasilkan lagu yang relevan dengan generasi muda. Ramai penoton George Clinton kuyup akibat mandi hujan, dan Aku rasa mereka tak peduli dengan hujan sebab mereka tahu yang mereka tak mungkin dapat alami persembahan George Clinton untuk masa depan, jadi mereka ambil peluang ini untuk lenjan layan habis-habisan.

Lepas George Clinton, Shinji nak tengok Raul Midon tapi disebabkan George Clinton yang habis lambat Raul Midon pun dah selesai dengan persembahan dia. Jadi Aku, Shinji dengan Yanto cari makanan sebelum tunggu The Roots naik.

Lepas lepak minum, kitorang bertiga pergi dapatkan tempat di pentas The Roots, Zarim dengan Haq dah terpacak lama dekat sana, sebab badan Aku yang kecik dapat jugak menyelit sampai depan dan akhirnya tiba masa yang ditunggu-tunggu, It's The Legendary Roots Crew Motherfuckers!!!

The Roots tersenarai dalam salah satu majalah muzik(Aku dah lupa sama ada SPIN/Rolling Stone/URB) sebagai kumpulan yang harus dialami secara langsung. Macam tak percaya MC Black Thought betul-betul depan mata Aku, rhymenya amat tight sekali, intrikasi flownya amat tepat dengan beats yang dimainkan ?uestlove, pemain tubanya amat menghiburkan dengan kharisma beliau, solo dari gitaris Kirk Douglas tidak ubah seperti orang yang dirasuk, cuma satu saja yang Aku kecewa, iaitu mikrofon Black Thought diperlahankan bunyinya, Aku yang berada di depan agak kurang jelas dengan rapnya, cuba bayangkan semua yang di belakang. Semasa interlude, penonton dihiburkan oleh set solo drum ?uestlove dan percussionistnya Knuckles sebelum Black Thought mengambil semula tempatnya di depan. Dua lagu dari setlists mereka iaitu "The Next Movement" dan "You Got Me" menyebabkan penonton bersorak mencapai tahap euforia, mereka menyanyikan setiap perkataan dari lirik kedua-dua lagu tersebut. Tak banyak kumpulan Hip Hop yang mampu dipersembahkan dalam instrumentasi Live. Dan lebih banyak lagi yang tidak dapat menandingi showmanship kumpulan ini. Walaupun ini adalah kali pertama Aku dan peminat-peminat The Roots yang lain saksikan mereka secara langsung, tapi Aku dapat rasakan ini bukan persembahan terbaik mereka. Walau macamanapun Aku bersyukur sebab The Roots singgah Malaysia. The Roots, korang memang kena datang balik.

?uestlove....you are Hip Hop.

Perut dah mula buat lagu sendiri, kitorang bertiga pergi cari makanan sebelum datang balik dekat pentas yang sama unutuk persembahan John Legend.

Masa ni, kumpulan Soul/Jazz dari UK Incognito membuat persembahan.

Masa tengah beratur nak beli pizza Aku terserempak dengan crush Aku masa sekolah menengah dulu.

WTF!

Dia dah gemuk, tak secantik dulu.

Aku tegur dia, sekarang dia kerja sebagai ejen insurans.

Ok cool, nice to see you again.

John Legend, salah seorang Artis mainstream yang mendapat sambutan di Malaysia, membuatkan peminat-peminatnya menunggu agak lama. Biasalah Artis berstatus Superstar. Berhimpit juga penonton-penonton dia, kitorang tengok John Legend dari tepi melalui skrin besar je. Lepas 5-6 lagu kitorang beransur. Risau jugak kereta Aku yang dipark tepi highway je, jangan kena saman dah le.

Masa jalan keluar, ramai juga yang masih datang untuk persembahan Incubus sekejap lagi. Banyak juga gerai-gerai yang menjual T-shirt dan memorabilia Sunburst.
Aku pulang. Cukup sudah dentuman bass untuk satu hari. Gegendang telinga Aku perlu rehat seketika.

Banyak media yang melaporkan tentang Sunburst untuk hari-hari seterusnya. Ada yang mengadu tentang penjadualan yang agak tunggang langgang pada waktu penutup malam itu, sebab kumpulan Estranged dan Search perform selepas Incubus???. Aku balik lebih kurang pukul 11.30pm(pada pertengahan set John Legend) jadi Aku kurang pasti. Dan Aku ada terbaca Sunburst yang akan datang akan berlangsung selama 2 hari. Aku makin gelap akibat berjemur bawah matahari lama sangat. Kena mula kumpul duit untuk Sunburst tahun depan. Jumpa korang kat sana.

Maaf kerana tiada satu foto pun untuk Sunburst sebab Aku ditipu.

Ya...Aku ditipu.

ONE.

Saturday, March 22, 2008

Aku Ingin Senyum Semula

3 bulan sudah berlalu untuk tahun 2008.

Tiada apa peristiwa yang menggembirakan Aku setakat ini.

Macam Aku dah terlupa bagaimana untuk senyum.

Sebelum ini jika Aku telah kehilangan semua perasaan, sekarang Aku hilang keupayaan untuk mengekspresi.

Mungkin semasa Aku putuskan ikatan dengan dunia, secara tidak langsung Aku juga putuskan jalinan antara hati dan minda.

Barangkali Aku bukan sahaja kehilangan ahli keluarga dan rakan terdekat, tapi Aku juga kehilangan diri sendiri.

Aku ibarat Robot.....Jasad Bernyawa.

Aku lupa bagaimana untuk hidup.

Ya.....Hidup.

Friday, March 21, 2008

Tuah vs. Malang

Sesetengah dari kita terlalu taksub dengan nasib sepanjang kehidupan, contohnya macam nasib bertuah atau nasib malang. Aku juga pernah sesat sebegini percayakan nasib, buat benda-benda yang agak tahyul untuk kesinambungan hidup.

Tapi itu dulu, kerana kalau nasib ini telah ditulis, maka manusia akan hanya berharapkan nasib mereka. Pertaruhkan segalanya atas nasib.

Jangan.

Kerana kesemuanya dalam hidup sejagat bergantung kepada usaha bukan nasib. Tidak pernah nasib. Aku enggan percaya kepada nasib. Tapi percayakan diri sendiri, Aku yang bertanggungjawab ke atas kesinambungan Aku.

Bukan nasib. Tidak pernah nasib.

Monday, March 17, 2008

Kelewatan....Tapi Tiada Apa Yang Datang Awal.

Tekak Aku masih sakit sebab banyak sangat menjerit dekat Sunburst hari tu. The Roots Owns!!

Semoga The Roots dapat datang balik sebab ramai yang dah naik muak dengan Hip-Hop Lahanat ni semua. Mereka dengan megah laungkan nak hidupkan semula Hip-Hop, tapi tak sedar Bangsat-bangsat yang sama juga yang bunuh Hip-Hop. BODOH!!!

Jahannam dengan badut-badut tak bergaji ni semua.

Bulan depan Aku akan melabur dalam vending machine, masa ini Aku dah berbincang dengan penjual bagaimana untuk memepertingkatkan jualan. Mereka ada juga beberapa cara, tapi Aku tekankan yang Aku ingin juga terlibat dalam proses pemasaran. Diorang ada juga cakap untuk 6 bulan yang pertama agak perlahan untuk mendapat jualan, seperti mana yang korang tahu, Aku agak 'hands on' jika melibatkan duit pelaburan Aku.

Walau macamanapun pelaburan ini adalah sebahagian dari pematangan dari segi sumber kewangan dan juga pemahaman Aku tentang penanganan risiko.

Aku meningkat dewasa dan seharusnya pendapatan Aku juga bertambah seiringan dengan usia yang makin hari makin tua ni.....

Bulan Mac berlalu agak perlahan kerana waktu kerja Aku yang panjang dan lebih memenatkan dari biasa. Jadi atas sebab-sebab yang luar dari kawalan Aku, improvisasi adalah penting untuk mengekalkan kesinambungan, atas sebab ini Aku terpaksa korbankan masa cuti bagi seimbangkan dengan gajian bulanan supaya tidak kurang dari sasaran sebenar.

Aku akan bagi laporan penuh dari Sunburst sebaik sahaja Aku ada masa.

ONE.

Saturday, March 15, 2008

KOSONG.....

.....

Ada banyak sebenarnya yang Aku ingin luahkan dengan abjad.

Tapi inilah apa yang Aku rasa.....

KOSONG

Thursday, March 13, 2008

Persolan vs. Jawapan

Selama kita meniti, terlalu banyak soalan jika dibandingkan dengan jawapan.

Adakah soalan-soalan Aku pernah terjawab?
Tidak semua.

Sesetengah soalan lebih baik dibiar tanpa dijawab.

Ada juga jawapan yang tak perlu kita tahu.

Kekadang jawapan itu muncul betul-betul di hadapan mata, tapi Aku pula yang kurang peka untuk menyedarinya.

Boleh Aku rumuskan di sini, hidup adalah satu pencarian KEBENARAN.

Dan di dalam penitian, kita seringkali akan bertemu dengan Bangsat yang enggan mendedahkan kebenaran.

Tuesday, March 11, 2008

Termeterai Sempurna Seolah

Aku masih mengejar kesempurnaan.

Musathil? Sudah semestinya. Tetapi tidak salah jika mencuba.
Aku hanya manusia menagihkan kebenaran, tapi harga sebuah kebenaran itu adalah nyawaku.

Pencarian ini masih berterusan sehingga hujung nyawa, namun tekad dan dedikasi tidak menjanjikan kesinambungan. Perkara yang seterusnya ialah tidak mengorbankan siapa diri
Aku yang sebenarnya.

Aku makan
Tapi masih belum kenyang

Aku berjuang
Tapi masih belum menang

Aku berkarya
Tapi masih belum tenang

Aku masih meniti
Kerana Aku seorang pejuang

Moga Aku tidak mati sebelum mati.....
Hari ini offday Aku.

Masa untuk rehatkan badan dan tenangkan minda.Walau macamanapun Aku ada kerja perlu dibuat. Tapi rehat adalah agenda utama hari ini.

11 jam lagi sebelum esok mengundang. Kembali semula ke teritori hitam.

ONE.

Sunday, March 9, 2008

Aku bangun dari tidur, mengharapkan Aku bangkit di satu tempat yang baru.... tapi tidak. Hari baru menjanjikan perjuangan yang lebih azab lagi.

Kerana hari esok tidak menjanjikan kesinambungan. Pastinya Aku bukan hanya mahu hidup tetapi meraih kegemilangan dan harganya ialah nyawa kerana masa telah mengingkariku.

Setiap malam Aku impikan supaya dibangktikan di dunia baru tapi seringkali dikecewakan...

Semuanya bergantung pada kemahuan Aku untuk PEMBEBASAN kerana Aku hanya ada Aku. Adakah Aku mahukannya lebih dari segalanya?

YA.
Resesi di Amerika Syarikat menjadi topik utama para pelabur pada penghujung tahun 2007. Tapi Aku percaya resesi ini akan surut dalam beberapa bulan mendatang sebab saham ekuiti yang Aku beli sebelum ini juga jatuh harganya, walaupun ini adalah petanda yang nyata bagi pelabur untuk menjual saham mereka atau menarik diri untuk teruskan pelaburan, namun bagi kontrarian, masa ini adalah masa yang sempurna untuk membeli saham pada harga yang rendah dan ini akan menyumbang kepada ganjaran pada jangka panjang.

Orait, pada semua yang melabur bertahanlah kerana masa-masa sebegini kita perlu berwaspada dan percayalah akan tiba masanya untuk kita bangkit semula.

Friday, March 7, 2008

Sabtu, baru je balik dari sarapan. Sambil lalu ke mamak dua parti politik terbesar di Malaysia satu parti kerajaan dan satu lagi parti pembangkang dirikan khemah untuk pengundi. Ramai jugak yang dah datang untuk menunaikan kewajipan (macam lagu tema la pulak) baru je pukul 11.30 pagi.

Aku ada regime baru, dan hari ini Aku kena la laksanakannya. Pastikan semuanya dalam keadaan teratur.

Underground MC dan Venture Capitalism.....Bayangkan.

Thursday, March 6, 2008

Alhamdullilah, badan Aku makin pulih dari demam, tapi Aku tak berani nak komen tentang cuaca dunia yang tak menentu ni. Aku kembalikan fokus pada perspektif. Banyak lagi benda Aku kena buat. Berkenaan dengan politik pulak, sebenarnya bagi Aku perkataan MEMERINTAH itu satu satu perkataan yang keji, manusia tidak sepatutnya memerintah dan juga diperintah. Banyak juga topik yang boleh didebatkan mengenai isu politik ini.

Macamanapun besok Pilihan Raya Ke-12, rakyat semua keluar mengundi. Aku tak pernah terlintas pun nak mengundi apalagi nak mendaftar sebab Aku tak perlukan pengundian untuk menentukan siapa PENINDAS Aku. ONE.

Wednesday, March 5, 2008

Post Pertama. Salam Perkenalan.

Ini merupakan Blog peribadi Aku. Jadi hari ini merupakan hari pertama untuk seksaan neraka dunia seterusnya. Dengan nama ALLAH biar Aku mulakan. ONE.

Hari ini Offday Aku, Aku masih demam tapi dah kebah sikit. Kepala pun dah tak berat macam sebelum ini. Tahun 2008 adalah tahun untuk menebus kesalahan Aku pada tahun lepas. Walaupun tahun baru tapi masih dengan agenda yang sama. InsyaALLAH Aku takkan lari fokus.